Pada akhir tahun lalu, dimaklumkan bahawa projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) dijadualkan bermula pada bulan Januari 2025, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Ahmad Maslan dalam Dewan Rakyat.
Walau bagaimana pun, nampak gayanya perancangan tersebut tertangguh selama sebulan kerana ia hanya akan bermula pada hujung bulan ini dan dijangka siap pada 2029, seperti yang disahkan sendiri oleh EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri Selangor, Datuk Izham Hashim, laporan Harian Metro.
“Skop pelebaran dengan penambahan satu lorong setiap hala dari KM 19.2 (Plaza Tol Gombak) hingga ke KM 64.5 di Persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong, Pahang dengan panjang keseluruhan 45.3km. Ia membantu mengatasi kesesakan trafik, menambah baik ciri keselamatan dan reka bentuk lebuh raya serta pemasangan lampu jalan tambahan dari Genting Sempah ke Bentong,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor semalam.
Ia adalah bagi menjawab pertanyaan Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berkaitan perkembangan pelaksanaan pembangunan KLK.
Izham turut menjelaskan, skop pelebaran ini akan dilaksanakan di dalam koridor/rizab jajaran lebuhraya sedia ada tanpa membabitkan pengambilan tanah tambahan.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat kediaman penduduk yang berada di dalam rizab lebuhraya dan perlu berpindah keluar, kerajaan negeri akan memastikan proses pemindahan itu mengikut lunas undang-undang tanpа meminggirkan kebajikan pemilik kediaman,” katanya.
Projek pelebaran tersebut akan membabitkan jarak sepanjang 45.3 kilometer dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuhraya terbabit iaitu AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Anih Berhad).
Antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong). Skop kerja itu juga akan membabitkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.