Selepas sekitar empat tahun PCX 160 diperkenalkan kepada pasaran (kali pertama pada tahun 2020 di Jepun), Honda kini memperbaharui skuter tersebut dan melancarkannya di negara jiran, Indonesia. Ia ditawarkan dalam beberapa versi, bermula daripada yang paling asas, PCX 160 CBS berharga 33.75 juta rupiah (RM9,425) hingga paling tinggi PCX 160 ABS-Roadsync berharga 40.35 juta rupiah (RM11,270).
Keseluruhan panel badan skuter ini diubah tetapi masih mengekalkan identiti elegan yang digunakan pada mannequin sebelumnya. Bahagian lampu yang kini semuanya menggunakan unit LED juga direka semula dengan jika diperhatikan, bahagian hadapan mempunyai DRL nipis bersambung sehingga ke lampu penunjuk arah yang berada di atas, sementara di belakang, lampu brek tidak lagi menggunakan pencahayaan berbentuk X dan kini cuma tinggal satu jalur sahaja.
Melihat kepada varian paling tinggi, selain jelas menyatakan ia dilengkapi sistem ABS untuk brek cakera hadapan dan belakangnya, ia juga menerima skrin TFT baru bersaiz lima inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync untuk memberikan informasi dan kawalan tambahan seperti panggilan, pesanan, muzik dan navigasi. Kawalannya boleh dibuat menggunakan butang baru di sebelah kanan pemegang.
Pada bahagian roda, PCX 160 2025 dilengkapi rim bersaiz 14 inci di hadapan, 13 inci di belakang dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak. Bagi varian ABS-Roadsync, penyerap belakangnya dinaik taraf dengan unit yang mempunyai tabung.
Menggerakkan PCX 160 adalah enjin satu silinder 156.9 cc sistem suntikan bahan api PGM-Fi, penyejukan cecair dan eSP+, dipadankan bersama transmisi automatik V-Matic, mampu menghasilkan 16 PS pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.
Kelengkapan lain yang disediakan pada PCX 160 adalah termasuk tangki bahan api 8.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 30 liter, sistem kunci pintar, soket pengecas USB-C, lampu move beam dan penghadang angin hadapan gelap.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.